Back

Maybank Islamic Jalin Kerjasama Dengan Universiti Sains Islam Malaysia: Pelancaran Program Prosumerisme Untuk Pelajar Daripada Keluarga Kurang Berkemampuan

NILAI, NEGERI SEMBILAN: Maybank Islamic Berhad baru-baru ini melancarkan satu program incubator bakeri bersama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memanfaatkan 80 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dengan objektif untuk memperkasakan mereka dengan kemahiran keusahawanan.

Ini merupakan projek pertama seumpamanya dengan Maybank Islamic menyumbang sejumlah RM500,000 daripada dana Zakat untuk menyokong program ini, di mana pelajar di peringkat awal, akan diajar latihan asas pengurusan perniagaan termasuk kemahiran membakar, pemasaran, pengurusan kewangan dan kepentingan pensijilan halal.

Fasa seterusnya, pelajar-pelajar ini akan ditugaskan untuk menguruskan kafe, kiosk dan kedai di sekitar kawasan Nilai.

Pelancaran inkubator bakeri itu disempurnakan oleh Pengerusi USIM Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Encik Nor Shahrizan Sulaiman yang kemudiannya melancarkan program keusahawanan itu.

Program ini disertai oleh 80 orang pelajar asnaf di USIM daripada pelbagai fakulti dari tahun 2 sehingga tahun 3, dan mereka telah berjaya melengkapkan 5 modul secara teori dan praktikal secara intensif serta kini aktif membuat jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan menjual pelbagai jenis kuih raya dari sebuah kafe yang dinamakan Genba Bakery, bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar USIM.

Dalam ucapannya, Nor Shahrizan berkata, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama dengan USIM sejak 2020 dengan Program Keusahawanan Kemahiran Jahitan di mana bank itu membiayai RM200,000 untuk menampung 20 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

“Kami percaya dalam memperkasakan kesejahteraan ekonomi pelajar melalui program praktikal keusahawanan seperti kursus keusahawanan dan kemahiran vokasional seperti ini dapat membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan dan taraf ekonomi mereka, terutama bagi pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kami mahu mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memberi jaminan kehidupan yang lebih selesa selepas tamat pengajian.”

Tambahnya, dengan kerjasama terbaharu ini, Maybank Islamic sehingga kini, memperuntukkan sejumlah RM700,000 dana zakat Bank kepada USIM yang memanfaatkan seramai 100 pelajar.

“Kami juga berpendapat program seperti ini perlu disokong untuk membantu merapatkan jurang ekonomi antara mereka yang tinggal di luar bandar dan bandar melalui peningkatan prestasi akademik dan kemahiran vokasional dalam kalangan belia,” kata Nor Shahrizan.

Penyertaan Maybank Islamic dalam program latihan dan prosumerisme untuk kedai roti di USIM yang turut disokong oleh Pusat Zakat dan Wakaf USIM, merupakan salah satu usaha Maybank Islamic sebagai institusi kewangan Islam untuk mempamerkan bagaimana Zakat boleh menyumbang kepada pembangunan kewangan sosial Islam. Ini seterusnya memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk mengembangkan lagi potensi kewangan sosial Islam dalam meningkatkan dan mensejahterakan taraf hidup masyarakat dan para penerima bantuan Zakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami di Maybank Islamic untuk menyokong komuniti tempatan dengan menangani cabaran kehidupan masyarakat, membina daya tahan masyarakat, mewujudkan keterangkuman, dan mengambil tindakan responsif untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Pada masa yang sama sebagai organisasi yang bertanggungjawab, kami menyasarkan untuk menyepadukan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam inisiatif kami, sejajar dengan komitmen kelestarian Kumpulan Maybank,” kata Nor Shahrizan.