Back

Maybank Islamic bekerjasama dengan eLOKAL - Teroka potensi pasaran halal tempatan melalui pendigitalan PKS

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2022: Maybank Islamic Berhad hari ini menjalin kerjasama strategik dengan syarikat e-dagang tempatan, eLOKAL Sdn Bhd, yang menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara fizikal dan menerusi platform e-dagang.

Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada inisiatif Halal Route to Market Program (HalMap), yang dilancarkan pada 2021 yang telah menyaksikan produk makanan oleh 10 buah PKS dari Malaysia dipasarkan di rak sebuah pasar raya di Singapura.

Dengan Halmap 2.0 dan kerjasama dengan eLOKAL, 20 pelanggan PKS Maybank Islamic akan memasarkan produk mereka bukan sahaja di kedai fizikal dan dalam talian seperti Petronas, Petron dan desaMall tetapi juga di platform e-dagang popular termasuk Shopee, Lazada dan Wow Shop, untuk memaksimumkan pendedahan jenama produk dan capaian pelanggan.

Di bawah operasi perniagaan halal Maybank Islamic untuk PKS, pelanggan bukan sahaja memperolehi pembiayaan tetapi pihak bank juga akan membantu mereka dalam menjalankan pemadanan perniagaan, menyediakan khidmat nasihat pembangunan produk, bantuan dan perundingan pensijilan halal dan juga penawaran program eksport halal, seperti Halmap.

Dalam program bersama Maybank Islamic ini, eLOKAL selaku pengedar akan bertanggungjawab antara lain, penghantaran produk ke pengendali rangkaian runcit, semua aktiviti pemasaran serta promosi produk kepada peruncit.

Encik Nor Shahrizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic berkata, “Sebagai peneraju transformasi digital dalam perbankan, Kumpulan Maybank menerusi Maybank Islamic sentiasa komited untuk menerokai kerjasama strategik dan menawarkan teknik terbaik untuk memasarkan produk baharu sambil meningkatkan tawaran kepada pelanggan kami. Selain itu, kami percaya bahawa pendigitalan adalah penting untuk daya maju jangka masa panjang dalam era ekonomi baharu, meningkatkan produktiviti serta kemampanan sektor PKS dan Halmap 2.0 memenuhi kesemua keperluan ini.”

Encik Nor Shahrizan menambah bahawa keupayaan perniagaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan serta pertumbuhan hasil, dan seterusnya memacu perniagaan dalam jangka panjang.

“Ia juga dapat mengurangkan kos dengan menyediakan akses yang lebih baik dan pantas kepada maklumat antara perniagaan dan rangkaian. Selain itu, ia menyediakan hubungan yang lebih baik dengan pelanggan melalui cara yang lebih menarik dan boleh diterjemahkan kepada kepuasan pelanggan yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila e-mel kepada kami di halal@maybank.com dan myelokalz@gmail.com.