Back

Maybank Islamic & Etiqa Tingkatkan Usaha Kelestarian Dengan Pemasangan Pengecas Kenderaan Elektrik Pertama di Dataran Maybank

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2021: Maybank Islamic dan Etiqa hari ini mengumumkan inisiatif pemasangan stesen pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di Dataran Maybank selaras dengan usaha bank dan syarikat insuran berkenaan dalam menggerakkan organisasi ke arah mencapai matlamat agenda kemampanan, dan pada masa yang sama menyediakan pelanggan dengan kemudahan untuk mengecas EV atau kenderaan hibrid mereka.

Kedua-dua institusi kewangan di bawah Kumpulan Maybank itu telah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengecasan EV tempatan, ParkEasy untuk menempatkan empat stesen pengecasan di premis syarikat berkenaan di Dataran Maybank, masing-masing dua di bawah tajaan Maybank Islamic dan Etiqa. Maybank Islamic juga komited untuk menambah stesen pengecasan EV ini di lokasi lain yang akan dikenalpasti.

Empat pengecas itu diletakkan di Menara B Dataran Maybank, tempat letak kenderaan perimeter yang paling hampir dengan cawangan Premier Wealth Centre serta tempat letak kereta tingkat bawah bangunan premis berkenaan untuk kegunaan orang ramai dan pekerja Maybank. Pengecas elektrik tersebut boleh diakses melalui aplikasi yang akan membolehkan pelanggan dan pekerja Maybank membuat pra-tempahaan perkhidmatan dan membuat pembayaran tanpa tunai. Pelancaran stesen pengecasan itu juga dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ParkEasy, Warren Chan yang menunjukkan demonstrasi pengecasan pada pratonton pertama kereta BMW iX xDrive 40 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato' Mohamed Rafique Merican berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan Maybank ke arah mencapai matlamat kemampanannya dan untuk menyediakan pelanggan dengan kemudahan untuk mengecas kenderaan elektrik mereka serta merangsang pertumbuhan penggunaan EV di negara ini.

“Seperti yang diumumkan baru-baru ini, kami akan terus komited terhadap rancangan kemampanan kami untuk menjadi organisasi yang bertanggungjawab, mempromosikan ekonomi rendah karbon, memacu inovasi untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik dan juga memimpin melalui teladan.

Kamaludin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurance & Takaful berharap dengan menyediakan kemudahan pengecasan EV di tempat letak kereta bawah bangunan ini lebih ramai pekerja akan terdorong utuk beralih kepada kereta elektrik, sekali gus membawa peralihan ke arah penggunaan EV sepenuhnya.

“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Etiqa untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Dengan keadaan kecemasan iklim semasa, sudah tiba masanya untuk setiap daripada kita bersatu dan menerima pakai pelan pengurangan karbon bukan sahaja dalam operasi harian tetapi juga gaya hidup kita,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, “Kami menyasarkan untuk terus berinovasi dan menyokong inisiatif yang akan membolehkan peralihan yang adil kepada ekonomi rendah karbon untuk semua orang dalam masyarakat. Inisiatif ini menyokong pengurangan pelepasan berbahaya dan selaras dengan matlamat kami untuk menggalakkan tanggungjawab alam sekitar yang lebih besar.”

Di bawah Rangka Tindakan Mobiliti Elektrik Nasional, Malaysia berhasrat untuk memasang 125,000 stesen pengecas EV menjelang 2030. Maybank Islamic dan Etiqa amat menyokong usaha ini dan akan meneruskan pemasangan di lokasi lain pada tahun akan datang.