Back

Maybank Islamic Bantu Golongan Terkesan COVID-19 Di 11 Negara Sempena Menyambut Kedatangan Ramadan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2021: Maybank Islamic Berhad menyalurkan bantuan pek makanan sempena bulan Ramadan bagi membantu lebih 5,000 keluarga yang terkesan akibat COVID-19 di 11 buah negara, di mana cawangan Maybank beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata sumbangan berkenaan diagihkan kepada individu atau keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas punca pendapatan serta golongan memerlukan yang lain seperti ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), nelayan, petani serta mereka yang hilang pekerjaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berharap dengan bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban dan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan ketika menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi”.

“Pada tahun ini kami memfokuskan kepada golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 dan buat julung kalinya diperluaskan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membantu golongan pekerja asing yang merantau ke sana terutama mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sokongan; dimana kami secara rasminya telah membuka cawangan di Dubai International Financial Centre (DIFC) pada Februari 2020”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak tahun 2013 hingga 2021, Maybank Islamic telah memperuntukan hampir RM14 juta untuk program kemasyarakatan ini sekaligus memberi manfaat kepada hampir 120,000 keluarga kurang berkemampuan.
Program tahunan Regional Ramadhan Relief (Ramadhan Relief Serantau) pada tahun ini dijalankan dengan kerjasama lima pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM), MERCY Malaysia, Islamic Aid Malaysia (IAM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas.

“Kami berasa amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun kesembilan program ini dilaksanakan yang memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, Dubai dan komuniti terpinggir Myanmmar iaitu etnik Rohingya”.

Dato’ Mohamed Rafique juga berkata program ini selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangan Maybank beroperasi dan selaras dengan prinsip maqasid Syariah dan maslahah (kebaikan) umum yang ditekankan oleh Syariah.

Pada tahun ini, Maybank Islamic telah memperuntukan dana lebih RM13 juta melalui program tanggungjawab korporat yang akan diagihkan sepanjang tahun 2021 melalui 4 tonggak utama iaitu pendidikan, bantuan kemanusiaan, kewangan sosial Islam dan ihsan.