Back

Maybank Islamic Lancar Akaun Pelaburan Emas Dalam Talian Pertama Dengan Pilihan Untuk Miliki Emas Fizikal

Pelanggan boleh membeli, menjual, dan memindahkan emas dengan mudah melalui Maybank2u, dengan nilai serendah RM10

KUALA LUMPUR, 17 MEI 2021: Maybank Islamic Berhad baru-baru ini melancarkan Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i), produk pelaburan emas yang pertama membolehkan pelanggan membuka akaun, membeli dan menjual emas, serta memindahkan emas, semuanya dalam talian dengan mudah melalui saluran perbankan dalam talian Maybank2u.

Pelanggan boleh membuat pelaburan emas dan melakukan transaksi beli atau jual dengan nilai serendah RM10.
Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan memiliki emas fizikal dengan ketulenan 999.9 peratus seperti yang diakreditasikan oleh London Bullion Market Association tanpa perlu menyimpan emas fizikal atau bimbang akan keselamatannya.

MIGA-i berbeza daripada akaun emas konvensional, kerana akaun emas patuh Syariah ini membolehkan pelanggan menebus baki emas yang ada dalam akaun mereka dengan emas fizikal, dalam denominasi dari sekecil 1 gram sehingga 1 kilogram emas.

Maybank Islamic juga merupakan institusi kewangan pertama di negara ini yang dapat menyerahkan emas fizikal kepada pelanggan mereka setelah penebusan dibuat.

“Pelanggan boleh melabur dalam emas dengan nilai pelaburan awal serendah RM10. Kadar keutamaan pendahuluan akan diberikan kepada pelanggan dengan pelaburan sebanyak 100 gram ke atas untuk memastikan pelanggan mendapat harga emas yang paling menarik di pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican.

Akaun ini juga yang pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan pelanggan menikmati harga pasaran semasa secara masa nyata untuk membeli dan menjual emas. Dan tidak lama lagi, pelanggan juga akan ditawarkan fleksibiliti untuk membuat pra-pesanan untuk membeli atau menjual berdasarkan harga pilihan mereka melalui Maybank2u.

Manfaat lain yang dapat dinikmati pelanggan akaun ini termasuklah tebaran yang lebih rendah antara harga jualan dan belian pihak Bank dan tidak ada caj tambahan apabila pelanggan memindahkan emas dalam gram dari satu akaun MIGA-i ke akaun MIGA-i yang lain.

"Terdapat peningkatan dalam pelaburan emas di kalangan pelanggan pada masa kini. Pandemik Covid-19 telah mendorong para pelabur yang mengelak risiko untuk membeli aset seperti emas yang mereka anggap sebagai pelaburan yang stabil,” kata Dato’ Mohamed Rafique.

"Kami di Maybank Islamic percaya bahawa sudah tiba waktunya untuk kami menawarkan pelaburan yang sedemikian dan memudahkan mereka untuk bukan hanya membuka akaun tetapi juga membeli, menjual dan memindahkan emas melalui platform M2U kami,” tambahnya.

Untuk MIGA-i, Maybank Islamic bekerjasama dengan syarikat perdagangan emas, ACE Innovate Asia Berhad (AIAB) yang telah terlibat dalam perdagangan jongkong emas skerap, jongkong emas kas dan jongkong emas cetak sejak 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif AIAB, Encik Go Yoong Chang berkata: "Adalah penting bagi kami untuk bekerjasama dengan Maybank Islamic dalam melancarkan akaun pelaburan emas pertama seumpamanya dengan penghantaran emas secara fizikal kepada pelanggan. Kami mempunyai reputasi yang tinggi dan berkomitmen untuk memberikan perkhidmatan dan produk yang berkualiti tinggi. Kerjasama ini akan mendorong pengembangan aset pelaburan baharu dengan produk dan perkhidmatan kami yang boleh dipercayai, serta membantu kami dalam memajukan perniagaan pelaburan emas di rantau ini."

Kini terdapat kempen untuk pelanggan yang merujuk dan dirujuk akan menerima 0.01 gram emas ketika pelanggan yang dirujuk membuka akaun MIGA-i dalam talian dan membuat pelaburan minimum RM100. Mereka yang tidak mempunyai kod perujuk juga dapat menikmati ganjaran dengan memasukkan kod rujukan ‘MIGAM2U’ semasa pendaftaran akaun. Ganjaran ini dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Layari www.maybank2u.com.my/miga untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MIGA-i.