Back

Maybank Islamic Tawar Tempahan Pakej Umrah Secara Dalam Talian Melalui Maybank2u

KUALA LUMPUR, 19 November 2021: Maybank Islamic Berhad hari ini menyediakan platform tempahan pakej umrah yang lebih lancar dan mudah melalui laman perbankan dalam talian Maybank2u (M2U) kepada pelanggannya yang merancang untuk menunaikan umrah.

Berkuat kuasa hari ini, pelanggan kad kredit Premium Maybank dan Maybank Islamic boleh menyesuaikan urusan perjalanan umrah mereka dengan memilih tarikh perjalanan, penerbangan dan tempat penginapan mengikut pilihan mereka dan tidak terhad kepada pakej tetap agensi pelancongan.

Tawaran pakej Premium yang unik ini diwujudkan melalui kerjasama Maybank Islamic dengan agensi pelancongan Rayhar Travels Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengendali haji dan umrah dengan jumlah jemaah persendirian tertinggi serta terkenal di Malaysia.

“Mengambil kira gaya hidup normal dengan norma baharu akibat daripada penularan pandemik COVID-19, kami di Maybank Islamic mengambil pendekatan menyediakan penyelesaian digital ini kepada pemegang kad kredit Premium Maybank dan Maybank Islamic untuk memudahkan mereka mendaftarkan perjalanan umrah dengan lebih mudah dan cepat serta boleh diakses dimana sahaja mengikut keselesaan mereka,” kata Ahmad Shareza Abdul Rahman, Ketua Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah & Pembangunan Perniagaan Maybank Islamic.

Proses penempahan pakej umrah di M2U akan dipautkan terus ke platform dalam talian Rayhar Travels yang telah direka khusus untuk pelanggan Bank tersebut.

“Melalui platform dalam talian Rayhar, pelanggan boleh menyesuaikan keperluan pakej umrah mengikut keutamaan bakal jemaah selain boleh menebus Treats Points Maybank untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perjalanan umrah mereka,” tambah Ahmad Shareza.

Sejak 18 Oktober 2021, kerajaan Malaysia telah melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa untuk rakyat Malaysia dan negara Arab Saudi merupakan salah satu destinasi antarabangsa yang paling digemari pengembara Muslim.

“Dengan keistimewaaan eksklusif ini, kami berharap tawaran pakej Premium kami bersama Rayhar Travels ini akan memenuhi keperluan para pelanggan yang mungkin lebih mementingkan fleksibiliti dan pengalaman Umrah mengikut pilihan masing-masing,”
katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan Maybank Islamic boleh menghubungi Pengurus Perhubungan masing-masing atau sila layari laman web atau aplikasi Maybank2u.