Back

Maybank Islamic Beri Sumbangan Juadah Berbuka Puasa Kepada Petugas Barisan Hadapan Sambil Bantu Peniaga PKS Tempatan

KUALA LUMPUR, 10 MEI 2021: Maybank Islamic Berhad baru-baru ini mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa dan biskut raya kepada 3 buah hospital di sekitar Lembah Klang menerusi dana kebajikan Kad-i Maybank Islamic Mastercard Ikhwan dimana setiap perbelanjaan menggunakan kad berkenaan, Bank akan menyumbang 0.1% untuk tujuan amal.

Program Maybank Islamic Ihya Ramadan: Iftar for frontliners yang dilaksanakan selama 7 hari ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan pada bulan Ramadan dengan tujuan untuk menyantuni dan bagi menghargai pengorbanan pasukan barisan hadapan.

Program ini memanfaatkan kira-kira 2,700 kakitangan Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh serta Institut Jantung Negara dan kesemua bekalan makanan untuk program ini ditempah melalui peniaga berdaftar menerusi platform Maybank Sama-Sama Lokal.

Ketua Strategi Maybank Islamic, Dr Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata sebanyak 100 pek makanan yang diagihkan di setiap hospital selama 7 hari berturut-turut pada minggu terakhir Ramadan itu merupakan sebahagian daripada tanda penghargaan pihak Bank kepada kakitangan perubatan di Malaysia atas kesungguhan mereka membantu masyarakat dalam mengharungi masa-masa mencabar terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Kami berharap program ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat dan keceriaan kepada golongan terlibat dan kami juga berbangga dapat membantu peniaga kecil dan sederhana (PKS) di sekitar kawasan kejiranan seperti penjaja, kedai runcit dan restoran yang diuruskan keluarga yang kebanyakannya terjejas akibat kawalan pergerakan fizikal,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Sama-Sama Lokal dibangunkan oleh Kumpulan Maybank sejak April 2020 untuk menyokong para peniaga dan bukan bertujuan untuk keuntungan pihak bank. Sehingga hari ini, tiada sebarang caj atau komisen dikenakan kepada para peniaga untuk membolehkan mereka memberi tumpuan kepada membina semula dan mengekalkan perniagaan mereka.

Untuk rekod, Sama-Sama Lokal ini adalah suatu platform digital untuk PKS. Semua urusan membuat tempahan serta pembayaran bertambah mudah kerana setiap proses dilakukan di dalam aplikasi Maybank2u (M2U). Pengguna hanya perlu log masuk ke dalam aplikasi M2U untuk mengakses platform Sama-Sama Lokal berkenaan. Maybank juga menganjurkan kempen Ramadan & Raya Sama-sama Lagi Meriah sehingga 13 Jun 2021 ini dengan menawarkan potongan 50% keatas pesanan, dihadkan pada RM30, dengan pesanan minimum RM20.