Back

Maybank Islamic Tawar Bantuan Aliran Tunai Kepada PKS Pada Tempoh Sukar

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2021: Maybank Islamic Berhad baru-baru ini memperkenalkan kemudahan pembiayaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu kedudukan aliran tunai terutama ketika mendepani situasi sukar ekoran pandemik COVID-19.

Kemudahan pembiayaan melalui Skim Cakna ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kumpulan Maybank untuk membantu para pelanggan mengatasi cabaran kewangan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan juga memberi akses yang cepat kepada pembiayaan.

Skim berkenaan terbuka kepada syarikat yang telah dianugerahkan atau akan diberikan kontrak bekalan dan perkhidmatan oleh kerajaan melalui sistem e-perolehan kerajaan pada tahun 2021.

Di samping itu, permohonan juga boleh dibuat untuk kontrak yang sedang berjalan sekiranya kontrak tersebut bebas dari bebanan dan tidak diberikan kepada institusi kewangan lain.

Program ini berfungsi sebagai sumber pendanaan alternatif untuk membantu aliran tunai syarikat dan juga keperluan modal kerja dengan menerima pembayaran awal oleh pihak bank tanpa menunggu pembayaran dari kerajaan.

Maybank Islamic merupakan satu daripada empat institusi perbankan Islam yang terpilih untuk menjayakan program ini, dimana pihak bank membuat pembayaran awal kepada syarikat berdasarkan kepercayaan kredit kerajaan.

Syarikat yang terpilih dapat menikmati kadar semasa yang kompetitif berdasarkan kredit kerajaan tanpa syarat penilaian kredit terhadap mereka. Syarikat boleh membuat permohonan skim pembiayaan berkenaan melalui invois yang disetujui sementara menunggu pembayaran dari Kerajaan.

Pada prinsipnya, program ini melibatkan pemindahan hak, hak milik dan kepentingan, penghutang atas invois tertentu secara terhad. Margin pembiayaan adalah sehingga 100% dari nilai invois seperti yang telah disahkan untuk dibayar oleh kerajaan, dan tidak memerlukan penjamin.

Skim ini telah dilancarkan pada 1 Mac 2021 yang lalu dan akan ditawarkan selama satu tahun. Proses kelulusan bagi syarikat yang layak adalah dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh penyerahan dokumen lengkap kepada pihak bank.

Permohonan boleh dibuat di 13 Pusat Perbankan Transaksi Maybank di seluruh negara atau melalui emel kepada cakna@maybank.com.