Back

Maybank Islamic Sumbang RM500,000 Bantu Kanak-Kanak Memerlukan Jalani Pembedahan Di Institut Jantung Negara

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2020: Maybank Islamic Berhad hari ini menyampaikan cek bernilai RM500,000 kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) yang merupakan rakan strategik program tanggungjawab sosial korporat, untuk membantu kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan menjalani pembedahan mereka.

Program kerjasama dengan IJN ini bermula pada tahun 2012 menyaksikan hampir RM3 juta telah disumbangkan oleh Maybank Islamic dan memberi manfaat kepada 116 pesakit kanak-kanak termasuk pesakit daripada Indonesia, Somalia, Bangladesh, Myanmmar dan Nigeria.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata dalam satu kenyaatan hari ini, kolaborasi dengan IJN berkenaan sejajar dengan misi utama tanggungjawab sosial korporat Maybank Islamic yang menyokong pendidikan dan kesihatan kanak-kanak.

IJN adalah institut jantung yang paling terkenal dan mampan di Asia Pasifik yang telah melancarkan Pusat Jantung Pediatrik Serantau untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak bukan sahaja di seluruh Malaysia, tetapi juga di rantau ASEAN.

Ketua Jabatan Strategi Maybank Islamic, Dr Muhd Ramadhan Fitri Ellias juga menyampaikan cek bernilai RM20,000 kepada Yayasan IJN untuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada kakitangan IJN dalam sebuah majlis penyampaian cek yang diadakan di IJN, hari ini.

Tajaan PPE oleh Maybank Islamic berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan dana berjumlah RM2 juta yang telah diperuntukkan untuk membantu kumpulan yang terkesan di seluruh negara berikutan penularan wabak pandemik Covid-19, baru-baru ini.

Ini termasuk dana sebanyak RM1 juta secara tunai segera telah disalurkan kepada Dana Pandemik COVID-19 MERCY Malaysia menerusi Kumpulan Maybank untuk menyokong Pelan Kesiapsiagaan dan Respon Strategik. Ini bagi membantu memastikan simpanan kelengkapan penting untuk petugas di barisan hadapan seperti doktor perubatan, kakitangan hospital, pekerja penjagaan kesihatan dan sukarelawan adalah mencukupi.

Sebanyak RM750,000 juga telah disalurkan kepada MERCY Malaysia untuk membantu golongan miskin bandar terdiri daripada kumpulan B40 yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih telah menerima bantuan sebanyak RM200 menerusi e-dompet Maybank iaitu MAE untuk mereka membeli keperluan asas. Manakala bagi golongan miskin luar bandar seluruh negara pula telah menerima bekalan pek makanan.

“Selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangannya beroperasi, beberapa inisiatif lain dengan jumlah sumbangan lebih RM450,000 bersama Islamic Aid Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Perak dan Lembaga Zakat Negeri Kedah juga telah dilaksanakan,” kata Dato’ Mohamed Rafique.

“Kami di Maybank Islamic bukan sahaja komited dalam menyediakan program tanggungjwab korporat sepanjang tahun tetapi juga sentiasa menyokong inisiatif-inisiatif lain untuk meringankan beban kehidupan masyarakat terutama yang terkesan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan mempercepatkan langkah untuk membendung wabak berkenaan,” tambah beliau.

Terdapat juga tiga (3) kanak-kanak yang merupakan penerima bantuan inisiatif Maybank Islamic Save A Child's Heart ini turut hadir bersama-sama di majlis berkenaan iaitu Nur Masturina Shah Binti Indra Purnama, 7 tahun dari Tanjong Karang, Selangor, Nor Syifaa Syafiah Binti Mohd Johari, 9 tahun dari Sungai Buloh, Selangor dan Muhammad Bin Riduan, 6 tahun dari Kalumpang, Kerling, Selangor


###

Mengenai Maybank Islamic

Maybank Islamic adalah peneraju institusi perbankan Islam terkemuka ASEAN dan bank komersial Islam terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 31.1% daripada pembiayaan Islam serta deposit dan akaun pelaburan sebanyak 27.8% pada 31 Disember 2019. Pada tempoh yang sama, jumlah aset Maybank Islamic telah meningkat 9% kepada RM245.2 billion.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Bahagian Komunikasi Strategik, 
Maybank Islamic Berhad
Level 4, Tower A, Dataran Maybank,
1, Jalan Maarof, 59000, Bangsar, Kuala Lumpur

T: 03-22972000 F: 03-2297 2002

Roziana Hamsawi: +603 2297 2211 | +6012 324 6502 | roziana.h@maybank.com

Fadhli Asri: +603 2297 2479 | +6017 930 0395 | mnfadhli.aa@maybank.com