Back

Maybank Islamic Prihatin Terhadap Hampir 4,000 Keluarga Kurang Bernasib Baik Menjelang Ramadhan

Pada 18 Jun 2015, Maybank Islamic memberi sumbangan berupa bekalan bantuan makanan kepada hampir 4,000 keluarga dari golongan kurang berkemampuan serentak di 23 buah masjid seluruh Negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, En Muzaffar Hisham berkata, sebagai sebuah institusi perbankan Islam terbesar di Malaysia, Maybank Islamic akan terus komited menjalankan program-program kemasyarakatan menerusi tanggungjawab korporat (CR) bagi meringankan beban golongan yang memerlukan terutama ketika menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

“Bekalan makanan yang diberikan kepada keluarga asnaf di setiap masjid di seluruh Negara ini berupa barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan barang-barang keperluan asas yang lain dan ini merupakan kali ketiga program ini diadakan”, kata beliau ketika acara simbolik penyampaian sumbangan tersebut kepada Pengarah Islamic Relief Malaysia, En Zairulshahfuddin Zainal Abidin.

“Selain menyediakan dan menginsankan perkhidmatan kewangan Islam di seluruh Asia, inisiatif CR Maybank Islamic juga adalah membantu mempertingkatkan tahaf kehidupan masyarakat setempat terutama di kawasan yang mempunyai cawangan Maybank”.

Program Ramadhan Relief Seluruh Malaysia adalah program tahunan Maybank Islamic. Ia merupakan kerjasama Maybank Islamic dengan badan-badan amal seperti Islamic Relief Malaysia bagi negeri di semenanjung, Harakah Islamiah (HIKMAH) bagi Sarawak dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di negeri Sabah.

Maybank Islamic juga memfokuskan program peningkatan taraf ekonomi dan pendidikan bukan sahaja menerusi program kebajikan semata bahkan memperkasakan komuniti seperti memberi bantuan pembinaan rumah, perubatan bagi golongan asnaf dan keperluan-keperluan asas yang lain serta kelas bimbingan bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari peringkat sekolah hingga ke Universiti.