Back

Maybank Islamic menyampaikan bantuan makanan kepada hampir 9,000 keluarga menjelang Ramadhan

KUALA LUMPUR: Seluruh warga Maybank dan Maybank Islamic hari ini bersama-sama menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada hampir 9,000 keluarga dari golongan kurang berkemampuan serentak di seluruh Negara.

Program Ramadhan Relief Seluruh Malaysia merupakan program kemasyarakatan Maybank Islamic yang diadakan setiap tahun oleh warga Maybank serta Maybank Islamic sempena menyambut kedatangan bulan Ramandhan dan ini merupakan kali kedua program ini diadakan.

Penyampaian bekalan makanan asas ini diadakan di 34 buah masjid di seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak, di mana majlis induknya diadakan di Menara Maybank.

Lebih 50 keluarga daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini disempurnakan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias dan Ketua, Kumpulan Perbankan Islam Maybank & Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Muzaffar Hisham di Laman, Menara Maybank.

"Kami berbesar hati dan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan rahmatNya kami di Kumpulan Maybank dapat berkongsi rezeki dengan menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan yang kurang bernasib baik”, kata Datuk Abdul Farid Alias ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ramadhan Relief Seluruh Malaysia.

“Bekalan makanan yang diberikan kepada 200 keluarga setiap masjid di seluruh Negara ini berupa barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan barang-barang keperluan asas yang lain adalah sebagai persiapan untuk mereka menghadapi Bulan Ramadhan yang bakal menjelma”, tambahnya.

Muzaffar Hisham berkata, Maybank Islamic akan terus komited menjalankan program-program kemasyarakatan setiap tahun serta merangka beberapa program kemasyarakatan menerusi beberapa kategori seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan masyarakat serta bantuan kemanusiaan yang melibatkan golongan yang memerlukan.

“Ini selaras dengan misi Kumpulan Maybank iaitu selain menyediakan perkhidmatan kewangan dan menginsankan perkhidmatan kewangan Islam di seluruh Asia, inisiatif Maybank Islamic untuk membantu mempertingkatkan tahaf kehidupan komuniti adalah menerusi program kemasyarakatan untuk kami berada dekat dihati masyarakat”.

“Bagi kami, program seperti ini merupakan satu platform terbaik untuk mendekati masyarakat di bandar mahupun di luar bandar sekaligus dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi serta meringankan beban kehidupan masyarakat Islam di Malaysia”, tambahnya.

Program Ramadhan Relief Seluruh Malaysia ini adalah kerjasama Maybank Islamic dengan badan-badan amal seperti Islamic Relief Malaysia bagi negeri di semenanjung, Harakah Islamiah (HIKMAH) bagi Sarawak dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di negeri Sabah.

Majlis berkenaan juga di hadiri oleh Kumpulan Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Shariah Maybank Islamic, pihak pengurusan kanan Kumpulan Maybank serta pihak pengurusan Islamic Relief Malaysia (IRM).