Back

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Berhubung Penjualan Baja Organik

KEPUTUSAN J/KUASA FATWA BERHUBUNG PENJUALAN BAJA ORGANIK DARIPADA ENAPCEMAR IWK

MENJUAL NAJIS

1. TUJUAN

1.1 Kertas ini dibentang bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan Ahli Jawatankuasa Fatwa berhubung Penjualan Najis Bagi Tujuan Komersial. 

2. LATAR BELAKANG

2.1 Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menerima surat daripada Eastern Reach System Sdn. Bhd, yang memohon surat sokongan dan pandangan menurut Syarak mengenai baja organik daripada bahan enapcemar kering IWK. 
2.2 Syarikat ini telah mendapat kebenaran daripada Syarikat Evergreen Court Snd. Bhd memasarkan bahan enapcemar kering IWK dengan menggunakan jenama ‘Baja World Baja Organik Plus’. 
2.3 Bahan enapcemar ini telah melalui proses kaji selidik yang dikendalikan oleh Universiti Putra Malaysia, Pusat Teknologi Alam Sekitar dan Bioproses (SIRIM). 
2.4 Sehubungan dengan itu, kertas ini disediakan bagi menjelaskan pandangan Syarak mengenai penjualan najis.

3. ASAS PERTIMBANGAN [1]

3.1Hadith yang diriwayatkan oleh Jabir, daripada Rasulullah saw,
إن الله حرم بيع الخمر والميتة والخنزير والأصنام، فـقيل: يا رسول الله، أرأيت شحوم اليتة، فإنه يطلى بها السفن ويدهن بها الجلود، ويستصبح بها الناس؟ فقال: لا، هو حرام ، قاتل الله اليهود، أن الله لما حرم شحومها جملوه-أذابوه- ثم باعوه وأكلوا ثمنه.

Yang bermaksud, Sesungguhnya Allah menharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana pula lemak bangkai yang digunakan untuk dilumurkan pada perahu dan meminyakkan kulit serta orang menjadikannya minyak pelita? Lalu Baginda bersabda: Tidak, ia adalah haram. Sesungguhnya Allah memerangi orang Yahudi. Ini kerana tatkala Allah mengharamkan lemak bangkai, mereka memprosesnya(mengubah) iaitu mencairkannya. Kemudian menjual dan memakan hasil daripadanya. 

3.2Riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang sahih, Ibnu Umar ditanya tentang minyak yang telah dimasuki tikus. Beliau berkata,
استصبحوا به، وادهنوا به أدمكم، ومر رسول الله (ص) على شاة لميمونة فوجدها ميتة فقال: هلا أخذتم إهابها فدبغتموه وانتفعتم به، فقالوا: يا رسول الله إنها ميتة فقال: إنما حرم أكلها.

Yang bermaksud, Jadikanlah ia minyak pelita dan minyakkanlah dengannya kulit kamu. Tatkala Rasulullah saw berjalan dan mendapati kambing bebiri milik Maimunah telah mati lalu Baginda bersabda: Adakah kamu tidak mengambil kulitnya lalu kamu samak dan kamu boleh memanfatkannya. Sahabat menjawab: Wahai Rasulullah, ianya adalah bangkai. Baginda bersabda: Sesungguhnya apa yang diharamkan ialah memakannya.
3.3 Jumhur ulamak berpendapat menjual atau memperdagangkan najis adalah haram dan akad padanya adalah batil. Ini berdasarkan hadith yang pertama di atas tadi yang menyatakan pengharaman dan laknat kepada kaum yahudi yang memperdagangkannya. 
3.4 Walau bagaimanapun penggunaan najis selain daripada untuk dimakan adalah halal berdasarkan hadith kedua dan kata-kata daripada Ibnu Umar. 
3.5 Sehubungan dengan itu, ulamak Hanafi (الأحناف) mengecualikan pengharaman memperdagang dan menjual najis yang ada padanya manfaat. 
3.6 Hal ini turut dipersetujui oleh al-Zahiriah dengan menyatakan harus menjual tahi binatang atau tahi manusia yang boleh digunakan untuk tujuan pertanian dan bahan api. 
3.7 Hujjah mereka, selagi manfaatnya halal dan tujuannya baik dan bukan untuk dimakan maka penjualannya halal. Mereka juga menjelaskan hadith daripada Jabir mengenai pengharaman menjual lemak bangkai adalah pada peringkat awal Islam iaitu ketika orang hampir-hampir mengharuskan memakannya. Tetapi, apabila Islam telah teguh dihati mereka (orang Islam) maka diharuskan mereka memanfaatkannya dan tidak memakannya.

4. SYOR

4.1 Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa membuat pertimbangan dan keputusan Penjualan Najis Bagi Tujuan Komersial. 

Disediakan oleh: 
SN/PMBF 
27hb Dis 200 
[1] Ahsanul Kalam fi Fatawa wal Ahkam, ‘Atiah Saqar, Darul Ghad al-Arabi, Jld 5, hlmn302. 

KEPUTUSAN 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil 5/1427 
Pada 6 Zulhijjah 1427H 
bersamaan 27hb Disember 2006


Saya dengan ini membuat dan mengeluarkan, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus, keputusan berikut: 
Harus menjual dan memperdagangkan najis (tahi manusia atau haiwan) yang ada padanya manfaat iaitu untuk dijadikan baja bagi tanaman. 
Dato’ Hj. Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad 
Mufti Kerajaan Negeri, 
Negeri Sembilan Darul Khusus

Klik di sini untuk sumber.