Back

Pembelian Hutang Dengan Komoditi

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia

Entiti XYZ berhasrat untuk membeli hutang kewangan Islam berasaskan konsep bai` al-dayn bi al-sila’. Berdasarkan struktur yang dicadangkan, entiti XYZ akan membeli komoditi secara tunai daripada Broker A pada harga belian bersamaan dengan nilai pembelian hutang. Entiti XYZ akan membeli hutang kewangan daripada sebuah institusi kewangan Islam di bawah perjanjian induk jual beli (master agreement) pada harga belian dan membuat bayaran pembelian dengan komoditi yang diserahkan secara lani. Pada masa yang sama, entiti XYZ melantik institusi kewangan Islam tersebut sebagai ejen di bawah perjanjian induk perkhidmatan (master service agreement) untuk terus mentadbir hutang kewangan bagi pihak entiti XYZ. Institusi kewangan Islam tersebut akan menjual komoditi kepada Broker B melalui entiti XYZ, sebagai ejen, secara lani, pada harga yang bersamaan dengan nilai pembelian hutang.

Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada cadangan mekanisme pembelian hutang dengan komoditi seperti di atas dibenarkan.

Keputusan

MPS dalam mesyuarat ke-117 bertarikh 19 Oktober 2011 telah meluluskan cadangan mekanisme baru untuk pembelian hutang dengan menggunakan komoditi sebagai imbalan.

Klik di sini untuk sumber