Back

Krisis Kecairan (Liquidity) Wang bagi Syarikat

شراء كمبيوتر بالتقسيط وتعريف الربا

Soalan disampaikan oleh salah seorang Ulama besar pada zaman ini.

Fadhilatussyeikh Prof. Dr. ‘Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi, hafizahullah.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, saya berdoa kepada Allah agar kamu dan seluruh yang bersamamu sentiasa dikurniakan segala bentuk kebaikan.

Telah sampai kepadaku satu soalan dan aku mengharapkan jawapannya darimu atas kepercayaanku bahawa kamu adalah antara orang yang selayaknya untuk memberikan jawapan terbaik dalam menyelesaikan masalah ini.

Terima kasih atas kesudiaanmu.

Soalan:

Bolehkah krisis kecairan dan penyusutan nilai yang melanda sebuah syarikat hartanah dirawat dalam keadaan syarikat ini akan berdepan dengan kemuflisan didalam kedua-dua keadaan berikut:

  1. Menjual asetnya dengan mengalami kerugian yang sangat besar dan kemudiaanya muflis
  2. Tidak menjumpai institusi kewangan Islam yang boleh menyediakan pembiayaan bagi mengelakkankan syarikat ini muflis dan memudharatkan pemegang sahamnya.

Dalam situasi ini, syarikat tersebut terpaksa berdasarkan hajat yang mendesak untuk membuat pinjaman wang yang mengandungi riba dengan syarat-syarat taysir (kemudahan yang dibenarkan syara’) kepadanya disebabkan tiada alternatif yang lain.  Pekara ini dibina dengan kaedah syarak dan pendapat para fuqaha’ yang menilai hajat yang mendesak untuk sebagai hukum dharurat samada secara khas atau umum seperti hujah-hujah yang berikut:

  1. Kaedahالضرورات تبيح المحظوراتKeadaan Dharurat boleh mengharuskan perkara yang dilarang.
  2. Hajat mendesak samada khas atau umum dikira sebagai Dharurat. Diantaranya keharusan jual beli Al-Wafa’ ketika tingginya kadar hutang penduduk Bukhara begitulah juga di Mesir yang mereka istilahkan sebagai jual beli Amanah. Ulama’ mazhab Syafie pula menamakannya sebagai Rahn Al-Mu’ad. (Rujuk: Ghamz ‘Uyun Al-Basoir Syarh Al-Asybah Wa Al-Basair dan Al-Asybah Wa Al-Nazair).
  3. Keharusan bagi mereka yang mempunyai hajat terdesak untuk meminjam wang dengan pulangan untung, ini dilakukan dengan cara meminjam 10 dinar sebagai contoh dan memberi upah harian seperti yang terdapat dalam kitab Ghamz ‘Uyun Al-Basoir Syarh Al-Asybah Wa Al-Basair.
  4. Imam Az-Zarkasyi memperjelaskan di dalam kitab ‘Al-Manthur Min Al-Qawaid  Baina Al-Hajah Al-Khasah Wa Al-Hajah Al-‘Ammah’ bahawa : Sesebuah hajat umum dikira dharurat yang khas bagi individu. Perkara ini juga diulang beberapa kali oleh Imam Al-Haramain di dalam kitab Al-Burhan seperti:

“Sesungguhnya akad Kitabah, Ju’alah, Ijarah dan sepertinya dikira sebagai Hajat yang boleh melibatkan semua. Apabila Hajat ini melibatkan kepentingan umum maka diinteraksi sebagai sebuah Dharurat maka ia secara hakikatnya dikira sebagai sebuah Dharurat.”

Imam Haramain juga mengatakan “Hajat yang bersifat khas boleh mengharuskan perkara yang dilarang seperti hukum menampal bekas (menggunakan emas/perak) yang dilakukan kerana keperluan dan hukum memakan makanan orang kafir di Dar Al-Harb (negara yang memusuhi negara orang Islam) begitu juga dengan keharusan memakai sutera disebabkan penyakit kulit/kudis.” (Rujuk juga Al-Manthur fi Al-Qawaid).

Maka diatas sebab-sebab diatas, adakah hukum yang dibina atas dasar hajat/keperluan yang mendesak ini terpakai juga bagi Syakh Al-I’tibari (institusi) seperti syarikat atau institusi yang melibatkan hajat umum kerana ia melibatkan ramai pihak. Atas situasi seperti, kami memohon pencerahan dari fadhilatussyeikh.

Jawapan:

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Segala penghormatan dan doa yang ikhlas buatmu.

Aku amat gembira atas perkhabaran dan kesihatanmu yang baik yang dapat difahami melalui surat yang dikirimkan. Aku memanjat doa agar Allah mengekalkan khabar baik ini.

Samahah As-Syeikh,

Aku telah membaca surat tuan yang terkandung padanya sifat rendah diri para ‘Ulama ‘Amilin yang melambangkan keprihatinan dan ketaqwaan yang tinggi. Maka aku dengan penuh rendah hati menjelaskan pandanganku dalam masalah ini:

Menurut pandanganku, syarikat ini di dalam dua kemungkinan yang dihadapinya dikira sebagai menghampiri keadaan Dharurat yang mengharuskan beberapa perkara haram disebabkan ketiadaan alternatif yang halal sepertimana sandaran dalil-dalil yang kamu kemukakan dalam keterangan yang diberi.

Tambahan lagi, penjagaan harta terutama harta awam adalah di antara 5 keperluan Dharuri di dalam Syara’ (ataupun 6 menurut sebahagian yang lain). Seperti itu juga, keruntuhan sebuah syarikat yang dibina oleh pemegang saham sudah pasti menyebabkan kemudharatan kepada para lembaga pengarah, dan badan pengurusan tertinggi. Selain itu, pengharaman riba keatas yang memberi pinjaman adalah lebih berat dibandingkan kepada peminjam yang sangat memerlukannya walaupun dia juga dikira berdosa.

Diatas sebab ini, saya bersetuju dengan pandanganmu dengan syarat-syarat berikut:

  1. Tiada pilihan lain kepada badan pengurusan kecuali menghadapi kemuflisan ataupun meminjam wang dengan riba; ini selepas badan pengurusan telah cuba mendapatkan bantuan institusi-institusi kewangan Islam namun tiada yang dapat membantu ataupun  badan pengurusan telah berusaha untuk menambah pemegang saham yang baru, ataupun menjual sebahagian syarikat namun tidak memberi kesan begitu juga mereka telah cuba menambah wang syarikat namun tidak berjaya.
  2. Bahawa ahli Lembaga Pengarah  juga tidak berkempuan dari sudut kewangan untuk menyelamatkan syarikat daripada muflis.
  3. Syarikat hanya boleh mengambil pinjaman ribawi itu sekadar untuk menolak mudharat yang berlaku sepertimana yang digariskan oleh para fuqaha’الضرورات تقدر بقدرها(Hukum yang dibina atas dasar dharurat adalah dibatasi dengan kadarnya). Peraturan ini diambil dari firman Allah:

 

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِۚإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

 

Maksudnya: Sesiapa yang terpaksa melakukannya (perkara haram) tanpa melampaui batas dan berlebihan, maka mereka tidak berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha mengasihani.

Jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi, maka teraplikasilah hukum Dharurat sepertimana yang diperjelaskan dalam keteranganmu yang mulia.

Adapun berkenaan dengan status Syakhsiyah I’tibariyyah (institusi), kita secara konsisten menerima konsep ini berdasarkan dalil-dalil dan sebab yang diketahui oleh Samahah As-Syeikh yang menyoal. Bahkan Samahah As-Syeikh antara orang yang terawal menerima konsep ini dalam tulisan-tulisanmu yang amat berharga berdasarkan hukum-hukum fiqh yang terdahulu seperti dalam bab waqf dan baitul mal. Oleh itu, hingga kini kami dan badan-badan fiqh yang pelbagai masih menganggap hukum institusi ini seperti hukum individu tabiie. Bahkan pada pandanganku, institusi seperti ini lebih berhak untuk mengaplikasikan kaedah-kaedah yang disebut sebelum ini berbanding seorang individu  . Ini kerana jika seorang individu dalam keadaan dharurat, kemudaratan itu hanya melibatkan dirinya seorang, adapun organisasi seperti syarikat pemegang saham ia melibatkan ribuan manusia, bahkan puluhan ribu ataupun berjuta yang mana mudharat yang timbul akan melibatkan semua orang. Seperti yang dimaklumi, menolak kemudharatan yang umum lebih utama daripada menolak mudharat yang khas dan begitu juga jika bertembung kemaslahatan umum dan maslahah khas, ataupun mafsadah am dengan mafsadah yang khas, kepentingan umum mesti diutamakan.

Berdasarkan segala hujah ini, saya bersetuju dengan kaedah agung yang dirumuskan oleh Imam Al-Haramain:

(أن الحاجات العامة تنزل منزلة الضرورة الخاصة في حق آحاد الناس)

Maksudnya: Hajat yang melibatkan kepentingan umum dinilai sebagai Dharurat khas bagi setiap individu.

Maka kita melihat bagaimana Hajat yang am menduduki martabat dharurat sedangkan sebuah hajat itu pada asalnya lebih rendah dari tahap Dharurat namun apabila hajat itu melibatkan kepentingan umum, maka ia dikira sebagai dharurat khas. Ini bermakna setiap sesuatu yang melibatkan kepentingan umum akan diberi nilai yang lebih besar berbanding sesuatu yang melibatkan perkara yang khas. Oleh sebab itu hajat khas tidak akan dikira sebagai sebuah dharurat dan hanya hajat am yang dinilai sebagai sebuah dharurat. Namun begitu, hajat yang khas boleh berperananan dalam mengangkat beberapa kesusahan yang berlaku tetapi tidak sampai ke had dharurat yang boleh mengharuskan perkara haram yang berat seperti riba. Riba tidak akan menerimakan hukum rukhsah kecuali jika sampai ke tahap dharurat ataupun dinilai sebagai sebuah dharurat. Seperti hukum Gharar (ketidak jelasan dalam transaksi) akan mendapat keringanan jika melibatkan hajat yang mendesak ataupun melibatkan hajat umum sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah.

Inilah segala penjelasanku, Allah lebih mengetahui kebenaran sesebuah hakikat.  Moga kamu sentiasa dipelihara oleh Allah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Klik di sini untuk sumber