Back

Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Keputusan
Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat ke-11 pada 26 November 1997, memutuskan bahawa kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah adalah diharuskan kerana ia selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.

Hujah Mengharuskan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah

MPS, dengan dibantu oleh Jabatan Pasaran Modal Islam (JPMI), telah membuat kajian yang mendalam terhadap instrumen ini dan mengkaji isu Syariah yang dikaitkan dengannya. Antara isu tersebut ialah: 

Judi
Keraguan ditimbulkan terhadap instrumen ini berdasarkan ketetapan atas peserta pasaran yang perlu meletakkan sejumlah ‘deposit’ sebagai bayaran margin sebelum memulakan urus niaga. Tindakan ini dianggap seolah-olah sebagai suatu pertaruhan yang diharamkan. MPS mengambil keputusan bahawa aktiviti dagangan sedemikian tidak termasuk dalam judi kerana peningkatan dan penyusutan nilai adalah disebabkan perubahan permintaan dalam pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah dan merupakan suatu fenomena yang lumrah dalam dunia perniagaan. Tidak tepat untuk menghukum nilai kontrak yang menyusut atau meningkat akibat perubahan permintaan dalam pasaran hadapan minyak sawit mentah sebagai suatu aktiviti judi. Ini kerana aktiviti perjudian bergantung semata-mata kepada nasib dan tidak berkait dengan permintaan dan penawaran. 

Gharar
Gharar ditafsirkan sebagai sesuatu yang tidak pasti. Instrumen ini dikaitkan dengan ketidakpastian untuk memperoleh sesuatu yang dibeli dan keuntungan yang bakal diperoleh. MPS berpandangan bahawa untung dan rugi dalam dunia perniagaan merupakan suatu perkara yang lumrah, walaupun bagi peniaga, memperoleh keuntungan menjadi cita-cita dan harapan mereka. Ini digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Fatir ayat ke-29 yang menggambarkan harapan peniaga bahawa perniagaan mereka tidak akan mengalami kerugian. 

Firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi.” (Surah Fatir: 29)

Begitu juga dalam Surah al-Taubah ayat 24, digambarkan kekhuatiran terhadap kemungkinan perniagaan membawa kerugian. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: “... dan perniagaan yang kamu bimbangi kerugiannya.” (Surah al-Taubah: 24) 

Ini menunjukkan keuntungan dan kerugian adalah sifat perniagaan. Langkah yang diambil oleh peniaga untuk meminimumkan kerugian seberapa boleh jika terdedah kepada keadaan sedemikian. Persoalan utama dalam kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah ialah, apakah gharar benar-benar wujud? Elemen penting dalam jual beli yang dibahaskan oleh fukaha ialah ghalat. Perkara ini perlu dijelaskan kerana terdapat salah faham yang menyamakannya dengan prinsip gharar. Fukaha melihat soal ghalat dari sudut maslahah istiqrar ta`amul. Ia bermaksud, peserta pasaran diberi kebebasan untuk berurus niaga secara normal, reda meredai serta saling percaya mempercayai antara satu sama lain dalam urus niaga yang dilakukan, bagi menjamin kelancaran perjalanan pasaran. Perkara yang perlu diambil kira yang boleh menyebabkan gangguan kelancaran pasaran ialah penipuan dan manipulasi. Manakala faktor ghalat yang melibatkan kesilapan pertimbangan individu (ghalat `aqid) tidak boleh dijadikan asas untuk membatalkan akad. Faktor yang boleh membatalkan akad ialah ghalat wadhih iaitu kesilapan yang berlaku adalah jelas akibat daripada penipuan.

Apabila kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah dilaksanakan, perkara seperti jumlah barangan, jenis, harga, dan penyerahan telah dimaklumkan kepada peserta pasaran. Oleh itu tiada unsur gharar dalam kontrak terbabit. Kesemuanya telah dimaklumkan secara jelas dalam kontrak, malah aspekaspek pengawalseliaan dan perundangan telah disediakan bagi memastikan tidak berlaku penipuan.

Pembelian Sesuatu yang Tidak Wujud (Bai` Ma`dum)
Ibu Qayyim telah mengkaji isu bai` ma`dum190 dan menegaskan bahawa tegahan terhadap bai` ma`dum sebenarnya adalah kerana wujudnya unsur ketidakupayaan untuk menyerahkan perkara yang dijual. Jual beli ini boleh berlaku sama ada kepada perkara yang wujud atau tidak wujud sama sekali. Namun bai` ma`dum yang berlaku atas perkara yang wujud dan penjual boleh mendapatkannya atau dalam bentuk yang boleh diwujudkan kemudiannya, adalah sesuatu yang dibenarkan dan sah dilakukan. Ini banyak berlaku dalam Syariah seperti akad salam dan istisna`. Oleh itu, larangan bai` ma`dum adalah disebabkan unsur gharar dan bukannya unsur ma`dum tersebut. Situasi di atas tidak berlaku dalam pasaran hadapan minyak sawit mentah. Penyelesaian kontrak boleh dibuat secara tunai sebelum tarikh matang atau penyerahan secara fizikal ketika matang. Tambahan lagi, kegagalan penyerahan oleh penjual akan dijamin oleh Rumah Penjelasan. Oleh yang demikian unsur-unsur gharar adalah tidak wujud.

Spekulasi
Spekulasi juga merupakan antara isu yang menjadikan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah diragui hukumnya menurut Syariah. Spekulasi merujuk kepada tindakan mengambil peluang membuat keuntungan daripada pergerakan harga sesuatu barangan. Pada hakikatnya, aktiviti spekulasi wujud dalam apa jua bentuk perniagaan dan tidak terhad kepada dagangan urus niaga hadapan sahaja. Cuma, sama ada ia berbentuk keterlaluan ataupun berada dalam keadaan normal.

Tiada Pertukaran Barang (`iwadh)
Sarjana Islam semasa menimbulkan isu tidak berlaku `iwadh dalam urus niaga hadapan minyak sawit mentah. `iwadh bermaksud tukaran dalam jual beli, tetapi dalam konteks ini tiada berlaku pembelian barangan dalam hakikat sebenar. Justeru, tiada berlaku sebarang pertambahan nilai dalam aktiviti ekonomi. Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah pada hakikatnya memberikan suatu nilai tambah kepada peserta pasaran. Contohnya, apabila pengeluar minyak sawit mentah melakukan lindung nilai (hedging), mereka berusaha untuk mengurangkan kos. Ini secara tidak langsung dapat memperbaiki keuntungan syarikat dan menjadikan hasil pengeluaran mereka lebih berdaya saing. Berdasarkan kajian yang dikemukakan, dakwaan seperti gharar, bai` ma`dum, tiada `iwadh dan sebagainya tidak berlaku. Dengan itu, MPS telah memutuskan bahawa kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah adalah selaras dengan prinsip Syariah selagi ia bersih daripada unsur riba dan judi. Maka para pelabur yang prihatin dengan pengamalan prinsip-prinsip Syariah boleh memanfaatkan kemudahan yang ada untuk menggunakannya sebagai instrumen pengurusan risiko.

Klik di sini untuk sumber