Back

Kontrak Niaga Hadapan Indeks Komposit

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Keputusan
Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat ke-13 pada 19 Mac 1998, memutuskan bahawa mekanisme kontrak niaga hadapan indeks saham tidak bertentangan dengan prinsip Syariah. Oleh itu, urus niaga indeks saham dibenarkan selagi ia mematuhi kehendak Syariah iaitu dengan memastikan komponen indeks terdiri daripada sekuriti patuh Syariah.

Hujah Mengharuskan Kontrak Niaga Hadapan Indeks Komposit
Kontrak niaga hadapan indeks komposit ialah satu instrumen baru untuk mengurus risiko dagangan sekuriti. Ia tidak dapat disamakan dengan konsep salam, istisna`, musyarakah dan sebagainya secara seratus peratus. Dengan itu, memadankannya dengan kontrak penama yang sedia ada dalam perundangan Islam merupakan satu cara yang kurang tepat. Justeru itu, MPS dengan dibantu oleh Jabatan Pasaran Modal Islam (JPMI) telah menjalankan kajian terhadap kontrak baru ini dan memutuskan ia tidak bercanggah dengan prinsip Syariah sekiranya komponen indeks terdiri daripada sekuriti patuh mengikut prinsip Syariah. 

Ciri Kontrak Tiada Persamaan dengan Muqamarah, Jahalah dan Gharar
Isu muqamarah (perjudian), jahalah (kejahilan), gharar (ketidakpastian) dan bai` ma`dum adalah antara isu besar yang ditimbulkan oleh ulama semasa yang tidak mengharuskan kontrak niaga hadapan indeks komposit.

Jual beli indeks tidaklah sinonim dengan perjudian kerana tidak wujud persamaan dari sudut kehilangan wang pertaruhan. Dalam perjudian, pemainnya akan hilang kesemua wang pertaruhan sekiranya tekaannya meleset. Perkara ini tidak berlaku dalam dagangan indeks kerana jumlah mata (point) indeks mempunyai nilainya yang tersendiri. Apa yang berlaku adalah pelabur akan mengalami susutan atau pertambahan nilai bergantung kepada permintaan sekuriti dalam sejumlah saham yang menjadi komponen indeks berkenaan. Dagangan indeks ini tidak melibatkan sebarang unsur pertaruhan.

Kontrak ini juga tidak mengandungi unsur jahalah dan gharar kerana diniagakan secara telus daripada segi harga dan kuantiti unit. Tidak terdapat sebarang kesamaran harga dan kuantiti unit. Harga ditentukan oleh pasaran berdasarkan permintaan dan penawaran.

Isu Bai` Ma`dum
Dalam dagangan kontrak niaga hadapan indeks, sememangnya tiada sebarang penyerahan fizikal pada tarikh matang. Ini berlainan dengan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah yang mana penyerahan fizikal boleh berlaku. Sebagai penyelesaian, penyerahan fizikal ini boleh diganti dengan nilai wang tunai.

Secara umumnya, perundangan Islam dapat menerima perkara ini. Al-Baghdadi dalam bukunya Majma’ al-Dhamanat telah membicarakan isuisu berhubung dengannya. Penyelesaian secara ini dilakukan apabila serahan fizikal tidak dapat dilakukan. Penyelesaian dengan menggunakan nilai wang bermaksud membuat penilaian terhadap sesuatu dengan nilaian pasaran semasa tanpa menambah atau mengurangkannya. Selain daripada kes jual beli, ulama juga banyak membincangkan perkara yang sama dalam hal-hal mengenai ghasb dan ganti rugi mengenainya. Ini menunjukkan bahawa isu menggantikan serahan secara fizikal kepada nilai wang bukanlah suatu perkara baru dalam perundangan Islam.

Ta’wil Berasaskan Hikmah Tasyri`iyyah
Ta’wil (penafsiran) berasaskan hikmah tasyri`iyyah (rahsia dan tujuan sesuatu hukum) adalah amat penting. Prof. Dr. Fathi al-Duraini menegaskan bahawa ta’wil yang berteraskan hikmah tasyri`iyyah merupakan dalil yang lebih kukuh dan tepat kerana mujtahid menggunakan kefahamannya untuk mengaplikasi rahsia dan kehendak yang ingin dicapai oleh sesuatu nas dalam mengimplementasi sesuatu hukum. Menurutnya lagi, ini bukan bermakna kita lari daripada sesuatu dalil tetapi sebenarnya kita memahami apakah kehendak sebenar nas itu dan apa yang ingin dicapai oleh nas tersebut secara menyeluruh. Dalam konteks pasaran, jika dilihat dari sudut hikmah tasyri`iyyah, secara khususnya kontrak niaga hadapan indeks saham akan memberi maslahat kepada peniaga (pelabur) dan juga kepada sistem ekonomi secara keseluruhannya kerana ia bertindak sebagai instrumen pelindung nilai.

`Urf Iqtisadi Khas
`Urf merupakan kebiasaan yang diiktiraf oleh masyarakat setempat dalam urusan harian mereka sama ada bersifat perbuatan atau perkataan.

Dagangan kontrak niaga hadapan indeks komposit ialah suatu cara yang boleh digunakan oleh pengurus dana, penaja jamin dan peserta pasaran untuk memindahkan risiko harga pasaran. Secara prinsipnya ia merupakan `urf iqtisadi khas (adat kebiasaan khusus dalam aktiviti ekonomi) yang sahih iaitu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah. Perkara yang perlu diperbaiki adalah daripada sudut komponen indeks yang mestilah terdiri daripada sekuriti patuh mengikut prinsip Syariah. Hal ini dapat diatasi setelah wujudnya indeks Syariah. 

Konsep Mal
Pengiktirafan sebagai mal, penting untuk menentukan sesuatu itu boleh didagangkan atau tidak. Imam Al-Suyuti telah menggariskan konsep mal sebagai sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh dijual beli di samping dikenakan ganti rugi terhadap perosaknya. Berdasarkan garis panduan ini, status sesuatu kontrak niaga hadapan sebagai mal adalah sesuatu yang tidak syak lagi. Ini kerana ia mempunyai nilai dalam suatu tempoh tertentu dan didagangkan dalam pasarannya yang tersendiri. Ia juga menepati ciri-ciri haq maliy dalam Islam. Dalam kes `urbun (wang pendahuluan) misalnya, haq maliy terhad sehingga tarikh luput iaitu jika tidak dimanfaatkan sebelum tarikh berkenaan, hak itu tidak bernilai lagi. Begitu juga dalam kontrak niaga hadapan indeks komposit, ia mempunyai nilai sehingga tarikh matang kontrak, selepas itu kontrak berkenaan tidak boleh didagangkan lagi. Walaupun begitu, pemegang kontrak berupaya memperoleh manfaat sekiranya harga belian beliau lebih rendah daripada harga jualan ketika penyelesaian kontrak dibuat pada atau sebelum tarikh matang.

Klik di sini untuk sumber