Back

Hak Langganan Boleh Pindah (Tsr-Transferable Subscription Rights)

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Keputusan
Kumpulan Penyelidikan Instrumen Islam (KPII), dalam mesyuarat keenam pada 5 Oktober 1995, telah memutuskan bahawa hak langganan boleh pindah (TSR) ialah suatu instrumen yang diharuskan menurut perspektif Syariah. Ciri-ciri instrumen ini memenuhi prinsip mal menurut perundangan Islam sebagaimana yang telah digariskan dalam prinsip haq maliy dan haq tamalluk. Mesyuarat memutuskan bahawa apa yang dikatakan sebagai bai` ma`dum (jual beli sesuatu barangan atau perkhidmatan yang tidak wujud) dalam urus niaga TSR sebenarnya tidak berlaku bahkan ia merupakan bai` maujud (jual beli sesuatu yang wujud).

Pengenalan
TSR merupakan suatu kontrak yang memberi pemegangnya hak, tetapi bukan kewajipan, untuk melanggan saham biasa baru pada harga kuat kuasa yang telah Ditetapkan Terdahulu Dalam Tempoh Masa Tertentu. Ia Tidak Bernilai Lagi Selepas Tempoh Masa Yang Ditetapkan. Di Negara Lain, TSR Lebih Dikenali Sebagai “Waran”. HUJAH MENGHARUSKAN HAK LANGGANAN BOLEH PINDAH Dalam Menilai TSR, Beberapa Isu Fikah Telah Dikaji, Antaranya Ialah Isu Pegangan Hak Dan Bai` Ma`Dum. Soal Pegangan Hak Dan Pandangan Fikah mengenainya tidak perlu dibincangkan kerana ia telah disentuh dalam waran panggilan.

Bai` Ma`dum
Tumpuan utama adalah tentang pembelian sesuatu yang belum wujud (bai` ma`dum) kerana ia melibatkan kuantiti saham yang bakal dilanggan oleh pemegang TSR.
Kebanyakan fukaha tidak membenarkan bai` ma`dum secara umumnya. Namun begitu, Ibnu al-Qayyim telah mengkaji isu ini daripada dua dimensi yang menunjukkan keharusan bai` ma`dum dengan syarat-syarat tertentu:

Pertama: Pendapat yang menyatakan bai` ma`dum tidak diharuskan adalah tidak benar. Ini kerana tidak terdapat dalam al-Quran, al-Sunnah dan pendapat sahabat yang menyatakan bai` ma`dum tidak diharuskan. Cuma yang ada ialah hadis yang menyatakan larangan ke atas beberapa jenis jual beli dan barangan tertentu yang sifatnya tidak wujud, sama seperti larangan jual beli barangan yang wujud kerana sifatnya yang tertentu.

Oleh itu, tegahan terhadap jual beli barangan berkenaan bukan kerana tidak wujudnya atau wujudnya sesuatu barangan tetapi tegahan tersebut adalah kerana wujudnya unsur gharar iaitu ketidakpastian pada jual beli tersebut. Gharar tersebut adalah unsur tidak upaya untuk menyerahkan barangan yang dijual sama ada barangan tersebut sememangnya wujud atau tidak wujud sama sekali. Contoh klasik adalah seperti menjual hamba yang lari dan binatang yang masih lagi berkeliaran. Walaupun barangan itu wujud, namun penjual tidak mampu menyerahkannya kepada pembeli. Sedangkan ia merupakan kewajipan penjual sebaik sahaja sempurna akad jual beli. Kegagalan penjual melaksanakan tanggungjawabnya bermakna berlakunya unsur gharar yang dilarang kerana wujud ketidakpastian. 

Kedua: Terdapat keadaan tertentu Syarak membenarkan bai` ma`dum dan menganggapnya sah. Sebagai contoh, Syarak membenarkan jual beli buahbuahan dan bijirin yang sudah menampakkan kematangannya. Nabi s.a.w. membenarkan jual beli ini. Ia adalah bai` ma`dum kerana sebaik sahaja akad sempurna, pembeli masih tidak boleh mengambil barang yang dibelinya.

Sebaliknya pembeli perlu menunggu sehingga satu tempoh apabila buahbuahan dan bijirin tersebut masak sebelum memetiknya. Al-Kasani menyatakan antara syarat sah jual beli itu ialah keupayaan penjual menyerahkan barangan yang dijual. Perkara penting yang diutarakan oleh beliau ialah keupayaan menyerahkan barangan jualan dengan pasti biarpun pada masa hadapan. Ibnu Qudamah juga menyentuh persoalan yang sama dengan membawa isu menjual ikan dalam air. Menurut beliau, pendapat kebanyakan ulama jual beli sedemikian adalah jual beli yang tidak sah. Illahnya adalah kerana wujud unsur gharar. Namun dalam keadaan tertentu, diharuskan menjual ikan dalam air dengan syarat: 

(a) Kolam ikan itu milik penjual; 
(b) Air kolam cetek dan dapat dilihat dan dikenal pasti ikan di dalamnya; dan
(c) Kemungkinan boleh mendapatkan ikan itu.

Syarat-syarat ini perlu dipenuhi kesemuanya bagi membolehkan ikan dalam air harus dijual beli. Jika ia tidak dipenuhi, maka wujudlah unsur gharar kerana penjual tidak mampu menyerahkan barangan jualan. Berdasarkan nas fikah tadi, dapat disimpulkan bahawa illah bai` ma`dum adalah gharar. Gharar berlaku apabila penjual tidak berupaya untuk menyerahkan jualannya. Ini bermakna apabila berlaku bai` ma`dum tanpa unsur gharar iaitu jualan pasti dapat diadakan, sifat, kadar, harganya juga dapat dipastikan dan penjual mampu menyerahkan barangan pada tempoh tertentu, maka ia merupakan jual beli yang sah. 

Kesimpulannya, larangan bai` ma`dum bukan semata-mata kerana tidak wujudnya barangan ketika akad tetapi kerana terdapatnya unsur gharar. Dengan sebab itu yang dilarang ialah unsur gharar tersebut dan bukan kerana ketidakwujudan barangan itu.

Berbalik kepada hak melanggan saham yang dianggap belum wujud itu, oleh kerana kuantiti, sifat, kadar, jenis dan harganya telah pasti dan pihak syarikat akan mewujudkan saham baru pada tempoh tertentu, ia bukanlah bai` ma`dum yang dilarang. Dapat disimpulkan di sini bahawa instrumen TSR tidak bercanggah dengan Syariah. Dalam konteks ini, sesuatu TSR itu dianggap patuh Syariah apabila saham yang bakal wujud tersebut adalah juga saham yang patuh prinsip Syariah.

Klik di sini untuk sumber