08  July 2009  - 15:05
Kumpulan Maybank membayar RM7.12

Kumpulan Maybank hari ini membuat pembayaran zakat berjumlah RM7.12 juta kepada 15 Pusat Zakat Negeri serta 24 badan-badan amal dan kemasyarakatan.

Jumlah sumbangan zakat tersebut adalah hasil daripada perniagaan perbankan Islam Kumpulan Maybank bagi tahun-tahun kewangan 2007 dan 2008. Daripada jumlah ini, sebanyak RM6.2 juta diagihkan kepada Pusat-pusat Zakat Negeri, manakala RM920,000 lagi diserahkan secara langsung kepada asnaf-asnaf yang layak termasuklah rumah anak-anak yatim, sekolah agama, masjid, pusat dialisis, universiti, badan bukan kerajaan dan yayasan kebajikan masyarakat.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato' Sri Abdul Wahid Omar bersama-sama dengan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Ibrahim Hassan menyerahkan zakat tersebut kepada wakil-wakil Pusat Zakat Negeri dan para penerima lain di Menara Maybank hari ini.

Penaksiran Zakat Perniagaan Maybank dan Maybank Islamic adalah menggunakan Kaedah Urfiyyah atau Kaedah Model Berkembang (Growth Model). Kaedah Modal Berkembang ini mengambil kira ekuiti pemilik Islam entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan bagi item-item tertentu, sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih ringkas adalah modal dicampurkan dengan keuntungan.

Berucap di majlis tersebut, Dato' Sri Abdul Wahid mengatakan bahawa pembayaran zakat yang dibuat adalah hasil daripada keupayaan Kumpulan Maybank mencapai pulangan yang menguntungkan daripada operasi perbankan Islamnya.

"Maybank mula menawarkan skim perbankan Islam pada tahun 1993 sebagai alternatif kepada perbankan konvensional. Sejak itu, perkhidmatan perbankan Islam semakin berkembang dan pada Januari 2008, kami telah menubuhkan sebuah anak syarikat, khusus bagi operasi perbankan Islam, yang dinamakan Maybank Islamic Berhad. Sejak penubuhannya, Maybank Islamic terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan, sekaligus mengekalkan kepimpinan Kumpulan Maybank dalam operasi perbankan Islam di rantau Asia Pasifik," kata Dato' Sri Abdul Wahid.

"Ini jelas dibuktikan dengan pencapaian keuntungan sebelum cukai dan zakat yang membanggakan iaitu sebanyak RM273.2 juta pada tahun kewangan 2008 serta pertumbuhan pendapatan sebanyak 31.2% bagi suku ketiga tahun kewangan 2009 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Sejajar dengan peningkatan keuntungan ini, jumlah zakat yang dibayar juga bertambah, sekaligus membolehkan kami membantu lebih ramai golongan masyarakat yang memerlukan," tambahnya.

"Sebagai sebuah warga korporat yang bertanggungjawab, Maybank menyedari akan kewajipan membayar zakat hasil daripada keuntungan perniagaan. Dalam pada itu, tanggungjawab dan kesedaran ini bukanlah hanya terhenti di sini. Kami juga menjalinkan kerjasama dengan pusat-pusat zakat di seluruh negara dengan menyediakan saluran-saluran pembayaran bagi memudahkan pembayaran zakat oleh orang ramai yang juga pelanggan Maybank. Hari ini, para pelanggan Maybank boleh membayar zakat mereka di kaunter cawangan-cawangan kami serta melalui Internet di maybank2u.com. Pelanggan perniagaan dan korporat pula boleh membuat pembayaran zakat mereka dengan mudah menggunakan sistem pengurusan tunai perniagaan melalui Internet yang ditawarkan melalui Maybank2e.net."

Maybank Islamic mempunyai jumlah aset sebanyak RM31.8 bilion dan aset pembiayaan kasar sebanyak RM26.4 bilion pada Mac 2009. Sejak penubuhannya sebagai anak syarikat Maybank pada 1 Januari 2008, Maybank Islamic telah melancarkan 20 produk deposit yang merangkumi akaun simpanan, akaun semasa, akaun berjangka dan akaun mata wang asing. Kesemua produk ini ditawarkan di 12 cawangan Maybank Islamic dan rangkaian Kumpulan Maybank sebanyak lebih 380 cawangan di seluruh negara serta operasi antarabangsa Kumpulan di 14 negara. Pada Mei 2009, jumlah pembiayaan Maybank Islamic kepada sektor perniagaan dan runcit pula berjumlah lebih RM24.8 bilion.