25  November 2008
Maybank & PTPTN Melancarkan Sistem Deposit

Maybank & PTPTN Melancarkan Sistem Deposit Elektronik Lengkap bagi SSPN

Maybank hari ini memeterai perjanjian dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai ejen kutipan bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Dengan termenterainya perjanjian ini, Maybank secara rasminya melancarkan satu siri perkhidmatan penabungan eletronik lengkap bagi SSPN yang bermatlamat menggalakkan penabungan duit bagi membiayai kos pendidikan tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato' Sri Abdul Wahid Omar dan En Lim Hong Tat, Ketua Perbankan Konsumer menandatangani bagi pihak Maybank manakala PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, En Yunos Bin Abd Ghani dan En Wan Ahmad Bin Wan Yusoff. Upacara menandatangani perjanjian tersebut turut disaksikan oleh YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Dengan pelancaran rasmi satu siri perkhidmatan penabungan eletronik lengkap yang merangkumi lima saluran penabungan iaitu mesin ATM, mesin deposit tunai (CDM), Maybank2u.com, Kawanku Phone Banking dan pembayaran kaunter, Maybank menjadi sebagai bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan saluran penabungan elektronik yang terbesar untuk SSPN.

SSPN yang dilancarkan oleh PTPTN pada tahun 2004 adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Para pelanggan boleh membuka akaun SSPN mereka di semua cawangan Maybank seluruh negara dengan simpanan permulaan serendah RM20.

"Maybank amat gembira kerana berpeluang untuk memudahkan usaha penabungan oleh ibu bapa bagi kegunaan pendidikan masa hadapan anak-anak mereka melalui saluran pembayaran yang disediakan. Perjanjian hari ini sekaligus mengukuhkan Maybank sebagai pemimpin dalam sistem pembayaran elektronik di Malaysia.

Dalam tempoh percubaan selama 11 bulan , penabungan melalui lima saluran yang ditawarkan oleh Maybank telah mencecah lebih RM11.29 juta. "Ini jelas menunjukkan para pelanggan kami mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dalam menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Maybank," ujar Dato' Sri Wahid Omar.

Dato' Sri berkata pergandingan bahu bersama PTPTN kali ini amat bermakna sekali. "Maybank dan PTPTN berpegang pada satu falsafah yang sama yakni menyokong satu matlamat yang jitu dalam mewujudkan satu masa depan yang cerah untuk generasi masa akan datang. Maybank menawarkan peluang simpanan dan pelaburan untuk semua golongan lapisan masyarakat manakala PTPTN menawarkan satu skim bestari yang berupaya menjamin satu masa depan yang cemerlang untuk generasi akan datang," tambahnya.

Skim SSPN ini adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia. Di samping itu, skim ini turut menawarkan kadar dividen yang kompetitif serta dikecualikan daripada cukai.

Maybank mempunyai 378 cawangan, lebih 2,700 mesin ATM, mesin deposit tunai sebanyak 854 dan pelanggan Maybank2u.com yang melebihi 4.3 juta serta asas pelanggan seramai 8 juta.